BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, December 31, 2009

NIKMAT BERUKHUWAH

Para pembaca yang dirahmati Allah, dalam tulisan yang lalu kita telah melihat beberapa saranan ke arah membina ukhuwwah yang telah dianjurkan oleh Islam. Kita juga telah melihat bagaimana al-Quran melalui ayatnya menggambarkan bahawa perpecahan itu pula merupakan azab yang menimpa umat. Marilah sekali lagi merenung mafhum ayat dari surah Ali Imran yang bermaksud:

Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat siksa yang berat. (Ali Imran: 105)
Jika ayat ini menjelaskan perpecahan itu mengundang seksaan yang pedih atau azab maka pastinya kesatuan itu pula satu nikmat. Kesatuan itu pula tidak mungkin dapat di capai tanpa adanya ukhuwwah.
Para pembaca yang budiman,
kita sekarang berada dalam bulan Muharram yang dikenali sebagai bulan hijrah. Maka apabila kita soroti peristiwa besar ini dalam sirah junjungan mulia Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam kita akan dapati Baginda telah memberi isyarat kepada umat akan beberapa perkara penting yang perlu dipelajari dari peristiwa ini. Sejurus Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam sampai di Madinah antara perkara pertama yang dibuat oleh Baginda adalah mempersaudarakan diantara golongan Muhajirin dan Ansar di samping membina masjid dan merangka perlembagaan.
Persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar ini adalah peristiwa agung yang dirakamkan oleh sejarah Islam yang tidak pernah berulang dalam bentuk yang digambar dalam sejarah Islam yang berikutnya dan dalam sebarang tamadun pun. Saya katakan begini kerana dalam peristiwa persaudaraan ini ada sahabat-sahabat Ansar yang menawarkan separuh harta mereka kepada sahabat-sahabat Muhajirin bahkan lebih dari itu ada yang sanggup untuk menceraikan isteri-isteri mereka untuk diberikan kepada Muhajirin. Walaupun sejarah merakamkan penawaran-penawaran yang luarbiasa ini, tetapi sahabat-sahabat kalangan Muhajirin bukanlah mereka yang oportunis mengambil kesempatan diatas kebaikan orang lain. Bahkan mereka senang untuk hidup seperti diri mereka tanpa menjadi liabiliti atau bebanan kepada orang lain dan hanya mengharap keredhaan Allah Taala semata-mata. Tidak peliklah sikap mereka ini turut dirakamkan oleh al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud:
(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (karena) mencari karunia dari Allah dan keridhaan-Nya dan mereka menolong Allah dan RasulNya. mereka itulah orang-orang yang benar.
Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) 'mencintai' orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung. (Al-Hasyr: 8-9).
Persaudaraan yang tiada kepentingan, dari yang memberi mahupun yang menerima. Semangat ukhuwwah inilah perlu kita contohi, agar ukhuwwah yang dibina benar-benar memberi impak dalam kesatuan.

*Ustaz Ismail bin Abdullah merupakan penulis tetap bagi buletin MPN. Beliau adalah pensyarah dari Jabatan Syariah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

0 comments: