BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, December 31, 2009

NIKMAT BERUKHUWAH

Para pembaca yang dirahmati Allah, dalam tulisan yang lalu kita telah melihat beberapa saranan ke arah membina ukhuwwah yang telah dianjurkan oleh Islam. Kita juga telah melihat bagaimana al-Quran melalui ayatnya menggambarkan bahawa perpecahan itu pula merupakan azab yang menimpa umat. Marilah sekali lagi merenung mafhum ayat dari surah Ali Imran yang bermaksud:

Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat siksa yang berat. (Ali Imran: 105)
Jika ayat ini menjelaskan perpecahan itu mengundang seksaan yang pedih atau azab maka pastinya kesatuan itu pula satu nikmat. Kesatuan itu pula tidak mungkin dapat di capai tanpa adanya ukhuwwah.
Para pembaca yang budiman,
kita sekarang berada dalam bulan Muharram yang dikenali sebagai bulan hijrah. Maka apabila kita soroti peristiwa besar ini dalam sirah junjungan mulia Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam kita akan dapati Baginda telah memberi isyarat kepada umat akan beberapa perkara penting yang perlu dipelajari dari peristiwa ini. Sejurus Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam sampai di Madinah antara perkara pertama yang dibuat oleh Baginda adalah mempersaudarakan diantara golongan Muhajirin dan Ansar di samping membina masjid dan merangka perlembagaan.
Persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar ini adalah peristiwa agung yang dirakamkan oleh sejarah Islam yang tidak pernah berulang dalam bentuk yang digambar dalam sejarah Islam yang berikutnya dan dalam sebarang tamadun pun. Saya katakan begini kerana dalam peristiwa persaudaraan ini ada sahabat-sahabat Ansar yang menawarkan separuh harta mereka kepada sahabat-sahabat Muhajirin bahkan lebih dari itu ada yang sanggup untuk menceraikan isteri-isteri mereka untuk diberikan kepada Muhajirin. Walaupun sejarah merakamkan penawaran-penawaran yang luarbiasa ini, tetapi sahabat-sahabat kalangan Muhajirin bukanlah mereka yang oportunis mengambil kesempatan diatas kebaikan orang lain. Bahkan mereka senang untuk hidup seperti diri mereka tanpa menjadi liabiliti atau bebanan kepada orang lain dan hanya mengharap keredhaan Allah Taala semata-mata. Tidak peliklah sikap mereka ini turut dirakamkan oleh al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud:
(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (karena) mencari karunia dari Allah dan keridhaan-Nya dan mereka menolong Allah dan RasulNya. mereka itulah orang-orang yang benar.
Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) 'mencintai' orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung. (Al-Hasyr: 8-9).
Persaudaraan yang tiada kepentingan, dari yang memberi mahupun yang menerima. Semangat ukhuwwah inilah perlu kita contohi, agar ukhuwwah yang dibina benar-benar memberi impak dalam kesatuan.

*Ustaz Ismail bin Abdullah merupakan penulis tetap bagi buletin MPN. Beliau adalah pensyarah dari Jabatan Syariah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

MAHASISWA, UKHUWWAH & PERPADUAN

Oleh: Ustaz Ismail bin Abdullah

Masyarakat Islam adalah satu komuniti yang diiktiraf oleh Allah sebagai ummah yang satu. Kesatuan mereka bertunjang kepada akar tauhid yang kuat diatas kemurnian akidah yang jelas. Hal ini telah disebut oleh Allah dalam surah al-Baqarah melalui lidah rasul-Nya Ibrahim a.s ketika baginda berdoa setelah mendirikan kaabah dengan anaknya Nabi Ismail a.s.:

Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) diantara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami, dan terimalah Taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.”

Diatas kesatuan akidah inilah umat Islam membina ukhuwwah mereka sebagai lanjutan dan kesan langsung dari keimanan tersebut. Ini jugalah yang dijelaskan oleh Allah s.w.t bahawa iman itu membawa kepada persaudaraan atau ukhuwwah melalui sepotong ayat dari surah al-Hujurat yang bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu saling bersaudara (10).”

Dari ayat ini dapat kita fahami bahawa iman dan persaudaraan atau ukhuwwah itu saling berkait rapat. Seorang mukmin tidak mungkin memusuhi saudaranya yang mukmin seperti dia memusuhi orang-orang kafir dan ahli kitab.

Perlu diingat juga bahawa ukhuwwah itu tidak berada ditangan manusia walaupun mereka membelanjakan segala kekayaan. Ini kerana ia adalah diatas perkenan daripada Allah s.w.t. Dialah yang menyatukan antara hati-hati hamba. Firman Allah Taala yang bermaksud:
Dan (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah Telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya dia Maha gagah lagi Maha Bijaksana. (Al-Anfal: 63).”

Maka penyatuan yang dilakukan oleh Allah hanya akan berlaku jika manusia berusaha untuk mewujudkan ukhuwwah dan persaudaraan. Langkah-langkah kearah pembinaan ukhuwwah boleh dilihat dalam terjemahan ayat-ayat berikut:
Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.” (Ali Imran: 102)
Pembinaan ukhuwwah bermula daripada keimanan dan ketaqwaan dari pada Allah. Ketaqwaan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ketaqwaan yang berterusan dan konsisten sepanjang kehidupan mukmin sehingga kepada saat-saat kematian.
Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, Maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu Karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.” (Ali Imran: 103)
Ukhuwwah yang benar bertitik-tolak dari kefahaman yang benar. Manakala kefahaman yang benar bertitik tolak dari sumber maklumat yang benar. Oleh itu, asas kepada pembinaan ukhuwwah yang seterusnya adalah memahami al-Quran. Orang-orang Islam tidak mungkin dapat disatukan jika mereka tidak kembali kepada al-Quran dan ajarannya. Manakala ini dicapai maka usaha-usaha penyatuan akan dapat dikecapi dan membawa kepada nikmat. Ini kerana ukhuwwah dan persaudaraan itu adalah satu nikmat yang besar yang perlu disyukuri dan dipelihara.
Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Ali Imran: 104)

Kesan dari keimanan dan ukhuwwah tadi akan dapat diterjemahkan dalam amal jama’i iaitu melakukan kebajikan serta amar makruf dan nahi munkar. Kedua-dua perkara ini tidak mungkin dapat dilaksana dengan berkesan tanpa adanya ikatan ukhuwwah yang mantap dikalangan anggota organisasi.
Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat siksa yang berat.” (Ali Imran: 105)

Jika orang-orang Islam, cenderung pula untuk saling bercakaran dan berselisih pandangan sedangkan ada bersama mereka al-Quran yang boleh dirujuk untuk mendapatkan jalan-jalan penyelesaian maka nikmat ukhuwwah itu akan berubah menjadi perpecahan yang mengundang azab.

Melalui ayat-ayat diatas, secara ringkas dipaparkan tentang langkah-langkah pembinaan ukhuwwah. Jika langkah-langkah ini diambil, maka mudahlah untuk Allah menyatukan antara hati hamba-hambaNya.Jika ukhuwwah itu satu nikmat, maka perpecahan itu adalah azab. Kembalilah kepada al-Quran jika benar mahu melihat ukhuwwah kembali bertaut. Tanpa ukhuwwah tiada makna bagi perpaduan.

Sampai bertemu lagi di siri akan datang dengan izin Allah.

Saturday, December 26, 2009

Assalamualaikum

Assalamualaikum...

SELAMAT DATANG ke blog Majlis Perwakilan Nuqaba'